China sedia kongsi kejayaannya dengan dunia

Share this:

BEIJING: China bersedia berkongsi amalan dan pengalaman kejayaannya dalam tadbir urus dan pembangunan ekonomi dengan negara lain sekiranya mereka berminat untuk mempelajarinya.

Timbalan Menteri Luarnya Zhang Yesui berkata bagaimanapun negara itu tidak akan mengeksport model pembangunannya mahupun mengimport model negara lain.

“China mengikuti trendnya sendiri justeru kami tidak akan minta negara lain meniru amalan kami namun jika mereka berminat untuk mempelajarinya, kami bersedia untuk berbincang dengan mereka.

“Kami bersedia berkongsi pengalaman kami dengan mereka dan kami tidak akan memaksa,” katanya pada sidang media pertama bersempena Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) ke-13 selama dua minggu di Great Hall of People, di sini pada Ahad.

Zhang yang juga jurucakap untuk sesi pertama NPC, berkata pembangunan China adalah kondusif kepada kestabilan dan kemakmuran dunia dengan setiap pembangunan China mewujudkan banyak peluang untuk dunia.

“Yang China mahukan ialah pembangunan yang aman dan juga terus berhubung dengan negara-negara lain berdasarkan sistem kod yang aman… China ada sumbangan tersendiri kepada pertumbuhan global serta perdagangan antarabangsa dan pembasmian kemiskinan,” katanya.

Mengulas inisiatif Belt and Road, strategi pembangunan yang dicadangkan oleh China bagi membangunkan jaringan perdagangan dan infrastruktur yang menghubungkan Asia dengan Eropah dan Afrika, Zhang berkata tujuan inisiatif ialah untuk mengusahakan faedah bersama dengan semua yang terlibat, bukan alat geo-strategik negara itu.

Beliau berkata setakat ini banyak kemajuan telah dicapai antaranya pembangunan infrastruktur saling hubung telah memberikan hasil awal, dasar komunikasi semakin mantap manakala mekanisme kerjasama sedang diperkukuh dan kolaborasi di peringkat akar umbi pula sedang berlangsung dalam semua aspek.

Sementara itu dalam ucapan pembukaannya pada sidang media tersebut, beliau berkata sesi tahunan ke-13 berkenaan akan menyaksikan pemilihan pegawai kerajaan baharu, justeru bakal menjadi acara besar dalam senario politik rakyat China.

Timbalan-timbalan NPC akan membincangkan tentang draf semakan semula perlembagaan China, draf undang-undang penyeliaan serta pelan pembaharuan institusi-institusi majlis negeri, katanya.

Sesi pertama NPC, badan perundangan kebangsaan China, akan bermula pagi esok selama 15 hari setengah.

Share this: